KAHERAH, 22 SEPT – Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul-Gheit kelmarin menyambut baik pengiktirafan terhadap negara Palestin yang merdeka oleh Britain, Kanada dan Australia.
Dalam satu hantaran di akaun X beliau, Aboul-Gheit berkata, pengiktirafan itu “membetulkan kesilapan sejarah yang berlarutan selama bertahun-tahun.”
Beliau menambah langkah itu juga selaras dengan desakan rakyat di negara-negara berkenaan untuk menyokong hak rakyat Palestin bagi kemerdekaan dan kehidupan yang bermaruah.
“Kami menjangkakan lebih banyak pengiktirafan berimpak besar di peringkat antarabangsa tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu kelmarin, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dalam kenyataan video berkata Britain “secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin,” sambil menggesa agar kembali kepada penyelesaian dua negara.
Kenyataan bersama oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Menteri Luar Penny Wong pula menyebut, “Australia mengiktiraf aspirasi yang sah dan telah lama dipegang oleh rakyat Palestin untuk memiliki negara mereka sendiri.”
Manakala, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney turut mengeluarkan kenyataan kelmarin yang mengesahkan pengiktirafan Kanada terhadap Negara Palestin. – Bernama


