Wednesday, April 30, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga Arab terima semula Syria

    KAHERAH, 7 MEI – Liga Arab hari ini mengalu-alukan kembali kerajaan Syria, yang telah diketepikan sejak 2011 berikutan tindakan keras Presiden Bashar al-Assad terhadap protes prodemokrasi yang memulakan perang saudara.

    “Delegasi kerajaan dari Republik Arab Syria akan menyambung semula penyertaan mereka dalam mesyuarat Liga Arab,” kata keputusan sebulat suara oleh menteri-menteri luar kumpulan itu.

    Pada November 2011, badan 22 anggota itu menggantung Damsyik kerana tindakan keras berdarah ke atas bantahan aman yang bermula awal tahun itu dan yang bertukar menjadi konflik awam yang telah mengorbankan lebih 500,000 orang, menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal dan menjejaskan infrastruktur dan industri negara itu.

    Sementara pertempuran kebanyakannya telah reda, sebahagian besar utara negara itu kekal di luar kawalan kerajaan, dan tiada penyelesaian politik telah dicapai untuk konflik berusia 12 tahun itu.

    Assad telah dipulaukan dari segi politik sejak konflik Syria bermula, tetapi beberapa minggu kebelakangan ini telah menyaksikan beberapa siri aktiviti diplomatik menjelang sidang kemuncak Liga Arab di bandar Jeddah, Arab Saudi pada 19 Mei.

    Sidang kemuncak Liga Arab terakhir yang dihadiri Assad adalah pada 2010. – AFP

    Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry bercakap semasa mesyuarat tergempar Menteri-Menteri Luar Liga Arab di Kaherah kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda