Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga bola keranjang Eropah dijangka bermula 2027

    NEW YORK, 17 SEPT – NBA bekerjasama dengan FIBA untuk menubuhkan sebuah Liga bola keranjang baharu berpusat di Eropah yang dijangka boleh bermula pada tahun 2027 atau 2028, walaupun belum ada garis masa muktamad ditetapkan, kata Pesuruhjaya NBA, Adam Silver, semalam.

    Bercakap pada sebuah sidang media anjuran Front Office Sports, Silver menyifatkan sasaran tahun 2027 sebagai ‘amat bercita-cita tinggi’ memandangkan masih banyak perkara yang perlu ditangani, namun dia tidak menolak kemungkinan tersebut.

    Dia mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa jangkaan masa mungkin antara dua hingga tiga tahun, dengan menekankan bahawa gelanggang sedia ada di seluruh Eropah boleh digunakan pada peringkat awal sebelum infrastruktur moden dibangunkan.

    “Saya tidak mahu ia berlanjutan melebihi 2028,” kata Silver.

    “Peluangnya ada sekarang untuk melaksanakan sesuatu seperti ini.”

    Adam Silver bercakap semasa sidang media, 5 Jun, di Oklahoma City. – AP

    Awal tahun ini, Silver pernah menyatakan bahawa pelancaran liga lebih hampir dengan temasya Olimpik Los Angeles 2028 mungkin lebih sesuai.

    NBA dan FIBA, badan induk bola keranjang dunia, mengumumkan rancangan pada Mac lalu untuk menubuhkan liga baharu di Eropah, sekali gus menamatkan spekulasi selama bertahun-tahun mengenai bila atau adakah rancangan ini akan menjadi kenyataan.

    Prosesnya bergerak pantas dan bulan lalu satu langkah besar telah dibuat apabila NBA melantik JPMorgan Chase dan Raine Group sebagai penasihat kewangan dan strategi.

    Silver berkata beliau dan Timbalan Pesuruhjaya Mark Tatum telah mengadakan pertemuan positif dengan pemimpin politik, pasukan, syarikat media, pelabur berpotensi dan pihak berkepentingan lain di seluruh Eropah, sementara kerja-kerja terus dijalankan di pejabat liga untuk merealisasikan projek tersebut.

    “Saya boleh katakan saya bersemangat mengenainya,” ujar Silver.

    Rancangan awal menetapkan bahawa liga baharu itu menampilkan 16 pasukan, walaupun jumlah itu masih boleh berubah. Kelab-kelab Eropah sedia ada seperti Real Madrid, Fenerbahce Istanbul dan Barcelona dijangka akan menjadi sebahagian daripada perancangan NBA, di samping jenama bola sepak terkenal seperti Manchester City dan Paris Saint-Germain.

    Kira-kira satu daripada enam pemain NBA ketika ini berasal dari Eropah, termasuk bintang Denver, Nikola Jokic dari Serbia, Giannis Antetokounmpo dari Greece (Milwaukee), yang telah memenangi lima daripada tujuh anugerah MVP terakhir, selain Luka Doncic dari Slovenia (Los Angeles Lakers) dan Victor Wembanyama dari Perancis (San Antonio).

    “Bola keranjang mungkin merupakan sukan yang paling pesat berkembang di dunia ketika ini dan ia adalah sukan nombor dua terbesar di Eropah selepas bola sepak, jadi saya fikir peluang ini benar-benar wujud,” kata Silver. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda