Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga bola sepak bagi golongan obes

    MEXICO – Badan dibasahi peluh, beberapa orang pemain bola sepak berbadan besar berlari di atas padang untuk menjaringkan gol dalam Liga Bola Sepak Heavyweight Mexico, di mana mata perlawanan diberikan bukan hanya berdasarkan jaringan bahkan kurangnya berat badan.

    Mexico merupakan negara kedua paling obes di dunia, selepas negara jiran Amerika Syarikat (AS). Tetapi di bandar utara Monterrey, liga amatur heavyweight itu menggunakan keghairahan penduduk Mexico terhadap bola sepak untuk menangani masalah itu.

    Pengasas bersama, Raul Pequeno berkata dia mendapat idea itu semasa menyaksikan perlawanan bola sepak di televisyen bersama anak-anak perempuannya setahun yang lalu.

    “Kami sedang menyaksikan (Monterrey) Rayados dan saya mula mengkritik seorang pemain bernama Edwin Cardona, kerana dia kelihatan agak gemuk,” kata Pequeno, 35.

    “Salah seorang anak perempuan saya berkata, ‘anda tidak juga bermain bola sepak’,” imbas Pequeno, yang mempunyai berat badan 157 kilogram pada ketika itu. Kini sudah beratnya berkurang, 143 kg.

    Para pemain bagi pasukan Galaxy dan Los Ombligones menunggu untuk memasuki padang bagi perlawanan mereka dalam satu program bagi membantu penduduk Mexico mengurangkan berat badan. – AFP
    Dua pemain berebut bola dalam satu perlawanan Liga Bola Sepak Heavyweight Mexico. – AFP
    Jesus Alejandro Vargas ketika menggunakan alat penimbang sambil diawasi oleh pakar pemakanan liga tersebut. – AFP

    “Dia 100 peratus betul,” katanya kepada AFP.

    Percakapan itu membuatkannya berfikir dan kemudian dia mengadakan satu kejohanan bagi lelaki-lelaki yang mempunyai saiz badan sepertinya. Satu kejohanan bagi wanita turut diadakan selepas itu.

    Kejohanan bagi kanak-kanak dalam perancangan seterusnya, di mana Mexico mempunyai masalah obesiti kanak-kanak paling teruk di dunia.

    Mendapat sambutan

    Edisi pertama kejohanan itu hanya menarik seramai 14 pemain. Kini, hampir 150 orang pemain menyertainya.

    Liga wanita pula telah menarik kira-kira 50 orang pemain dalam tahun pertamanya.

    Sebelum setiap perlawanan bermula, para pemain perlu alat penimbang bagi merekodkan kehilangan berat badan mereka sejak perlawanan sebelumnya.

    Menang di atas padang mendapat dua mata dalam carta liga. Menang melalui alat penimbang pula meraih tiga mata.

    “Anda boleh menang dalam setiap perlawanan, tetapi jika anda berusaha mengurangkan berat badan, anda masih kalah,” kata Pequeno. Liga itu mempunyai pakar pemakanannya sendiri, yang menentukan pelan makanan bagi para pemain setiap minggu dan membantu mereka mencapai matlamat itu.

    “Hakikatnya kami memberikan mereka pelan diet yang digunakan untuk penduduk obes dan berat berlebihan secara umum, inisiatif bagi memberikan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada mereka,” kata seorang pakar pemakanan yang bertanggungjawab bagi liga wanita, Larissa Carbonero.

    Para pemain berjenaka mengenai diet sama seperti jenaka dalam bola sepak.

    “Anda perlu minum lebih banyak air!” teriak seorang pemain selepas satu perlawanan bola sepak.

    Peluang sempurna

    Beberapa buah bandar lain di Mexico dilihat cuba menubuhkan liga obes mereka sendiri, yang diinspirasikan oleh kisah-kisah seperti yang dialami Jose Vargas.

    Vargas telah membuat keputusan untuk mengurangkan berat badan selepas anak perempuannya lahir.

    Dia mempunyai berat badan sebanyak 152kg semasa mula-mula menyertai kejohanan itu. Dia telah kehilangan 20kg sejak itu dan berkata bahawa dia kini boleh bergerak dengan lebih mudah.

    “Sungguh hebat untuk dapat menendang bola sekali lagi, bermain beberapa perlawanan, lebih pantas dan sedikit demi sedikit membantu anda mengurangkan berat badan,” kata Vargas, 36.

    “Saya terlalu berat untuk bermain di tempat lain. Ini adalah peluang sempurna bagi orang seperti saya.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda