LONDON, 1 Mei – Musim pertama Unai Emery di Arsenal dalam bahaya melainkan jika dia berupaya membuktikan dirinya sebagai ‘pakar’ Liga Europa bagi menutup kempen mengecewakan Gunners di EPL.
Arsenal tewas empat daripada lima aksi terakhir liga kepada Everton, Crystal Palace, Wolverhampton Wanderers dan Leicester City lantas terjerumus ke tangga kelima liga.
Apa yang lebih mengecewakan, untuk baki dua perlawanan, mereka perlu mengharapkan ihsan Chelsea atau Tottenham untuk tergelincir bagi berpeluang menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik.
Selain menerusi tiket liga, menjuarai Liga Europa turut memberikan ruang kepada pemenangnya bersaing di Liga Juara-Juara musim depan dengan Arsenal sudah dua musim tidak beraksi di pentas tertinggi itu.
Selama 20 tahun di bawah Arsene Wenger, Arsenal menikmati kekayaan dan perhatian daripada Liga Juara-Juara dan impak kegagalan beraksi di kancah berkenaan menyebabkan bajet Emery terpaksa dikurangkan.
Emery boleh dianggap pakar saingan Eropah apabila memenanginya sebanyak tiga kali ketika mengemudi kelab Sepanyol, Sevilla justeru dia sedar bahaya Arsenal di separuh akhir, Valencia, awal pagi Jumaat ini.
Ironinya, dia juga pernah mengemudi Valencia dari 2008 hingga 2012 dan membimbing kelab itu menamatkan saingan La Liga di tangga ketiga selama tiga musim berturut-turut.
“Emery sudah berada dalam senarai dewan kemasyhuran Valencia sebagai salah seorang paling lama berada di Valencia, melayakkan pasukan ke Liga Juara-Juara dan beraksi dengan baik,” kata wartawan dari Valencia, Luis Cortes kepada AFP. – AFP