PUTRAJAYA, 28 APRIL – Saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 yang ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19, mungkin dibenarkan untuk bersambung semula selewat-lewatnya November depan.
“Saya difahamkan Liga-M akan bersambung semula pada bulan Jun, kalau Jun ia terlalu awal. Kalau PKP ditamatkan, dalam masa satu atau dua bulan selepas itu mungkin masih terlalu awal untuk kita benarkan. “Tetapi kalau PKP tamat pada Jun, pertandingan bersambung bulan Oktober atau November dengan SOP seperti bermain tanpa penonton dan sebagainya, mungkin kita boleh lihat dan pertimbangkan perkara tersebut,” katanya pada sidang media harian PKP di sini, hari ini.
Beberapa negara antaranya Korea Selatan, Itali dan Jerman yang mempunyai jumlah kes jangkitan COVID-19 lebih tinggi berbanding Malaysia, telah mula memberi kelonggaran kepada aktiviti bola sepak profesional, di negara masing-masing. Pada masa sama, Ismail Sabri menegaskan, nasihat dan saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) tetap diperlukan, sebelum keputusan akhir dicapai berhubung perkara itu.
“Nasihat daripada KKM masih diperlukan dan selepas kita dapat mendengar cadangan daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) atau KBS (Kementerian Belia dan Sukan), kita akan teliti perkara ini,” tambah beliau.
FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lepas, susulan penularan COVID-19 selain untuk mematuhi penguatkuasaan PKP, bagi memutuskan rantaian penularan wabak tersebut.
FAM pada Khamis lepas mengesahkan, telah menghantar permohonan rasmi melalui Kementerian Belia dan Sukan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan. – Bernama