KUALA LUMPUR, 21 MEI – Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyuarakan keyakinan bahawa Liga Malaysia (Liga-M) tidak akan terkubur.
Menerusi hantaran di Facebook, Annuar menyeru semua pihak untuk bersatu hati dan terus berikhtiar demi masa depan bola sepak tanah air.
Dia turut memberi bayangan pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC akan kekal bersaing di Liga Super musim hadapan, sambil menegaskan kepentingan untuk belajar daripada kelemahan lampau.
“Liga akan mati? InsyaAllah tidak. Kita harus berikhtiar. Usah menuding jari. Semua pihak sudah menyumbang. Kelantan akan bersaing di Liga Super, InsyaAllah. Kita urus cara kita serta belajar daripada kelemahan masa lepas.
“Yang pasti, ada banyak kejutan bakal muncul… InsyaAllah kita tidak benarkan pasukan Kelantan jadi belasahan lagi. Satu syarat, bersatu hati dan bersedia berkhidmat, demi sukan, demi Kelantan dan bola sepak negara,” menurut hantaran itu hari ini.
Semalam, media tempatan melaporkan KDN FC mengesahkan kelab itu bersedia bergabung dengan Annuar, yang juga tokoh pembangunan bola sepak Kelantan dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan sukan nombor satu itu.
Ahad lepas, bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan memberi amaran Liga-M kini berada di ambang krisis dan bakal berdepan risiko terkubur jika tiada tindakan segera diambil susulan peningkatan jumlah pasukan yang terpalit dengan isu kewangan. – Bernama
