Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga Perdana perkenal piagam baharu

    LONDON, 31 JULAI – Para pemain Liga Perdana telah diberikan amaran bahawa mana-mana pemain yang bertindak kasar terhadap pengadil perlawanan akan dikenakan tindakan tegas sebagai sebahagian daripada langkah yang bertujuan untuk mengatasi tingkah laku buruk pemain di padang.

    Pihak berkuasa bola sepak Inggeris berhasrat untuk ‘membetulkan semula’ sikap pemain dan pengurus terhadap pengadil pada musim akan datang.

    Satu siri langkah yang bertujuan untuk menangani isu itu telah didedahkan Isnin lalu menjelang kempen Liga Perdana bermula pada 11 Ogos.

    ‘Piagam Peserta’ yang baharu memberikan kuasa kepada pengadil untuk mengambil tindakan tegas terhadap tingkah laku yang tidak dapat diterima, disokong oleh tindakan disiplin yang lebih ketat dari Persatuan Bola Sepak (FA).

    Mereka yang terlibat dalam kesalahan serius dan berulang kali boleh dikenakan denda kewangan yang lebih tinggi, manakala pengadil akan digalakkan untuk sekurang-kurangnya mengeluarkan kad kuning jika mereka dikelilingi oleh dua atau lebih pemain.

    Para pengurus juga akan diberi hukuman jika mereka meninggalkan kawasan teknikal di tepi padang untuk ‘terlibat dengan pegadil perlawanan di separuh masa atau akhir perlawanan.’

    “Kami ingin pemain, pengurus, dan peminat terus menunjukkan semangat mereka, tetapi langkah-langkah baharu ini diperkenalkan untuk memastikan garis panduan tidak dilanggar dalam hal tingkah laku di padang perlawanan dan kawasan teknikal,” kata Ketua Eksekutif Liga Perdana, Richard Masters. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda