Liga Portugal kembali, Porto kecundang

LISBON, 4 JUN – Liga Perdana Portugal menjadi liga bola sepak kedua di Eropah yang kembali semalam berikutan penutupannya sebelum ini akibat koronavirus dengan pendahulu liga, Porto mengalami kekalahan yang mengejutkan 2-1 di Famalicao.

Walaupun perlawanan dimainkan di stadium tertutup, beberapa penyokong Porto melakukan perjalanan dan berkumpul di luar stadium.

Namun, mereka kecewa, kerana harapan untuk memenangi gelaran liga musnah. Benfica di tempat kedua, di mana hanya satu mata di belakang Porto, dapat merampas kedudukan liga di tempat teratas pada Khamis ini ketika juara bertahan itu akan menjadi tuan rumah menentang Tondela.

Famalicao pasukan yang baru dipromosikan dalam liga telah mendahului kedudukan liga pada awal musim sebelum penampilan buruk mereka, tetapi kembali ke kedudukan kelima liga dengan hanya perbezaan dua mata di belakang Sporting Lisbon yang kini berada di tempat keempat.

Fabio Martins memecah kebuntuan pasukan tuan rumah pada minit ke-48, sebelum Porto kembali menyamakan kedudukan 16 minit kemudian melalui Jesus Manuel Corona.

Reaksi Pemain tengah FC Famalicao, Pedro Goncalves (tengah) semasa meraikan jaringan gol di perlawanan bola sepak liga Portugal antara FC Famalicao menentang FC Porto di Stadium Perbandaran di Vila Nova de Famalicao semalam. – AFP

Tetapi pemain tengah muda, Pote, merubah keputusan akhir untuk Famalicao empat minit kemudian ketika mereka berjaya menemui gol kemenangan.

Terdahulu, jaringan daripada Lucas pada separuh masa kedua perlawanan dengan kemenangan 1-0 Portimonense menentang Gil Vicente memberikan harapan buat mereka untuk bertahan di liga. Bundesliga kembali semula pada pertengahan bulan Mei lalu, sementara La Liga Sepanyol, Liga Perdana Inggeris dan Serie A Itali semuanya dijadualkan untuk disambung semula pada akhir bulan ini.

Namun, Ligue 1 di Perancis dan Eredivisie Belanda kedua-duanya telah mengakhiri musim mereka lebih awal.

Permulaan semula liga di Portugal telah menimbulkan perbalahan antara kelab. Pihak berkuasa kesihatan meminta permainan diadakan dalam sebilangan stadium terpilih sahaja. Pada akhirnya, 16 daripada 18 kelab akan bermain di halaman sendiri.

Maritimo menyekat cadangan liga untuk membenarkan lima penggantian pemain kerana untuk mengurangkan tekanan fizikal terhadap pemain. Beberapa kelab, termasuk Benfica, juga kecewa dengan keputusan untuk menyiarkan perlawanan di televisyen secara percuma. – AFP