Sunday, February 9, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga Pro Saudi azam untuk berjaya

    LONDON, 3 OGOS – Liga Pro Saudi ‘berazam untuk berjaya’ dan akan terus mengeluarkan wang tunai untuk menarik beberapa nama terbesar dalam bola sepak, menurut salah seorang eksekutif tertingginya.

    Kelab-kelab di negara Teluk yang kaya dengan minyak itu telah menarik bintang-bintang global, dengan Karim Benzema, Jordan Henderson dan Sadio Mane antara mereka yang mengikuti jejak Cristiano Ronaldo.

    Bulan lalu, Al-Hilal membuat tawaran 300 juta euro (AS$328 juta) untuk Kylian Mbappe, walaupun penyerang Paris Saint-Germain itu dilaporkan enggan bertemu dengan pegawai dari kelab tersebut.

    Kemasukan pemain-pemain itu berlaku walaupun sering dikritik bahawa perbelanjaan mewah Arab Saudi merupakan aktiviti sportswashing – percubaan untuk mengalihkan tumpuan daripada rekod hak asasi manusia negara itu.

    Pengarah British, Peter Hutton, yang menganggotai lembaga pengarah liga itu, memberitahu BBC: “Saya fikir belanjawan-belanjawan ini telah disediakan untuk beberapa tahun – awda tahu, saya tidak nampak perkara ini semakin perlahan.”

    Dia menambah: “Saya telah bekerja dalam sukan selama 40 tahun dan saya tidak pernah melihat projek sebesar itu, bercita-cita tinggi dan berazam untuk mencapai kejayaan.”

    Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata, liga Saudi telah ‘menukar sepenuhnya pasaran’ dan menjangkakan lebih ramai pemain berprofil tinggi akan berpindah ke sana.

    Bos Liverpool, Jurgen Klopp bimbang penutupan lewat jendela perpindahan di negara Timur Tengah boleh memberi kesan buruk kepada kelab-kelab Eropah.

    Tetapi Hutton berkata ia ‘tidak semestinya sesuatu yang buruk’ jika bola sepak Eropah kehilangan sedikit kuasanya, sambil menunjukkan kelab-kelab Saudi baru hanya membelanjakan satu perempat atau satu perlima daripada apa yang dilakukan oleh kelab-kelab Liga Perdana semasa jendela perpindahan semasa ini. – AFP

    Klopp menghadiri sidang akhbar di Festival Bola Sepak Singapura di Singapura pada 1 Ogos. Klopp melahirkan kebimbangan mengenai pengaruh Arab Saudi yang semakin meningkat baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda