Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Liga Super 2023 saingan penuh debaran

    KUALA LUMPUR, 23 FEB – Bahang Liga Malaysia (Liga-M) yang dinanti-nantikan peminat semakin terasa menjelang aksi pembuka tirai saingan 2023 iaitu perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

    Perlawanan Sumbangsih musim ini menjanjikan pertembungan lebih menarik dan penuh debaran apabila dikira sebagai aksi sulung Liga Super sekali gus JDT dan TFC masing-masing berpeluang membawa pulang gelaran dan tiga mata pertama untuk memulakan kempen dengan cemerlang.

    JDT selaku juara Liga Super sembilan kali berturut-turut dan TFC yang muncul naib juara edisi lepas, merupakan antara 14 pasukan yang akan menempuh cabaran hebat dalam laluan bergelar juara kancah utama bola sepak domestik.

    Selain Harimau Selatan dan skuad Penyu, 12 kelab lain yang semestinya menyemarakkan lagi saingan ialah Selangor, Kedah Darul Aman (KDA), Sabah, Kuala Lumpur (KL) City, Sri Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Penang, Kelantan, PDRM, Kuching City dan Kelantan United.

    Adakah JDT bakal mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut?

    Mampukah anak buah jurulatih kelahiran Argentina, Esteban Solari yang diperkuat muka baharu antaranya penjaga gol kebangsaan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Endrick Dos Santos, bekas penyerang skuad JDT 2019-2020 Diogo Luís Santo, Juan Muniz dan Oscar Arribas mengekalkan kejuaraan?.

    Dua persoalan itu berlegar-legar di fikiran setiap peminat, namun apabila dilabel sebagai pasukan pilihan, faktor tekanan antara yang perlu diberi perhatian bagi mengekalkan kejayaan sambil terdapat beberapa pasukan dilihat berpotensi merampas mahkota kejuaraan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...