Wednesday, October 23, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga Super Brunei mula hari ini

    Oleh James Kon –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Liga Super Brunei 2024-2025 akan bermula esok berikutan majlis pelancaran yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Presiden Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD), Haji Feisal bin Haji Eusoff Patail hari ini.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden, Haji Mahrub bin Haji Murni bersama Setiausaha Agung FABD, Pengiran Abdul Malik Badaruddin dan ahli-ahli exco lain serta wakil kelab yang mengambil bahagian.

    Haji Feisal dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan Liga Super Brunei yang telah menjadi platform bagi kelab-kelab bola sepak tempatan untuk mempamerkan bakat dan kemahiran pemain tempatan.

    “Ia akan menyaksikan penyertaan 14 kelab bola sepak tempatan yang akan bertanding dalam dua pusingan,” kata Haji Feisal.

    “FABD berharap Liga Super Brunei 2024-2025 akan mempamerkan persaingan yang berkualiti untuk menjadikan pertandingan yang berprestij serta menjadi asas yang kukuh ke arah membina masa depan bola sepak yang gemilang di Negara Brunei Darussalam.

    “Kami percaya bahawa semua kelab yang mengambil bahagian bersedia untuk pertandingan ini dan akan mempamerkan semangat persaingan yang tinggi, profesionalisme dan keazaman dalam mengejar kejuaraan,” tambahnya.

    FABD juga berharap setiap pemain akan memberikan yang terbaik dengan mempamerkan prestasi terbaik di atas padang dan memberikan inspirasi kepada generasi muda, khususnya dalam peringkat akar umbi untuk menjadi pengganti pada masa hadapan.

    Presiden FABD kemudiannya menerima bola Kelme sebagai bola sepak rasmi untuk Liga Super Brunei 2024-2025. Hadir untuk menyerahkan bola Kelme itu ialah wakil Kelme Brunei, Ahmad Mas’oud bin Haji Muhd Halimi.

    Haji Feisal menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa majlis berkenan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Haji Feisal dan wakil Kelme Brunei bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda