Tuesday, October 22, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga Super Sepak Takraw TAIB 2024 bakal bermula

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Seramai 22 peserta telah menghadiri Refresher’s Course yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly.

    Kursus berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan ringkas daripada Presiden Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU), Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran Dato Seri Laila Jasa Haji Abas.

    Pemudah cara bagi kursus berkenaan ialah Setiausaha Agung PESTABARU, Awang Ramlan bin Haji Mohd Said dengan kursus kali ini adalah berkenaan dengan persiapan jawatankuasa untuk menganjurkan Liga Super Sepak Takraw TAIB 2024 yang akan diadakan selama 6 minggu berturut-turut bermula pada 27 Oktober di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Sungai Kebun.

    Perlawanan seterusnya akan diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tutong pada 3 November dan 10 November. Bagi perlawanan minggu ke-4 akan berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Sungai Kebun iaitu pada 17 November.

    Manakala perlawanan suku akhir dan separuh akhir akan diadakan pada 22 November di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah diikuti dengan perlawanan akhir juga akan berlangsung di stadium yang sama pada 24 November.

    Liga Super Sepak Takraw TAIB 2024 merupakan liga anjuran PESTABARU untuk kali yang kedua dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) selaku penaja utama liga.

    Gambar ramai Haji Mohamad Rosfazilah bersama sebahagian peserta kursus. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda