Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liga Super Sepak Takraw TAIB buka tirai

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Kejohanan Liga Super Sepak Takraw (LSST) TAIB 2024 membuka tirainya hari ini di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Sungai Kebun dengan menampilkan pasukan-pasukan terbaik yang telah melalui beberapa siri kelayakan.

    Hadir menyaksikan perlawanan pembukaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran Haji Maidin, selaku Penghulu Mukim Lumapas.

    Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim; serta pegawai-pegawai kanan Perbadanan TAIB dan KKBS.

    Kejohanan akan berlangsung selama enam minggu berturut-turut, melibatkan tiga venue berasingan termasuk Daerah Tutong. Sebanyak 10 perlawanan bagi pasukan daripada kumpulan A dan B kategori Regu Terbuka telah diadakan hari ini, manakala kumpulan C dan D akan bersaing pada 3 dan 10 November di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Tutong.

    Acara kategori Quadrant dan Hoop akan bermula pada 17 hingga 20 November di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Sungai Kebun. Perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir, dan peringkat akhir dijadualkan pada 22 dan 24 November di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, yang akan diselajurkan dengan majlis penutup dan penyampaian Hadiah kepada para pemenang.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi hadir bagi menyaksikan perlawanan pembukaan tersebut di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Sungai Kebun, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Kejohanan LSST TAIB 2024 yang memasuki edisi kedua ini mempertandingkan tiga acara iaitu Regu Terbuka, Hoop, dan Quadrant B23, yang melibatkan 20 pasukan bagi acara Regu Terbuka, 5 pasukan bagi acara Hoop, dan 12 pasukan bagi Quadrant B23.

    Antara pasukan yang berjaya melayakkan diri ke Liga Super tersebut termasuk Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei A (MS ABDB A), MS ABDB B, Permata Hijau A, Siguntur Alam B, Semada B, Sengkurong, Mengkubau A, Warisan Belait B, Muara Spurs B, Meragang Tigres, 7 Bros, Masin Bersatu B, Permata Hijau B, Penglima Kota Batu, Miharbi A, Gabungan Kampung Lambak Kiri, MPK Luma ST B, Muara Spurs A, Warisan Belait A, dan Brunei Legend.

    Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, KKBS serta Perbadanan TAIB sebagai penaja utama liga.

    Matlamat utama kejohanan itu adalah untuk menarik minat orang ramai dalam sukan sepak takraw serta mencari bakat baharu berpotensi yang dapat diserapkan dalam program pembangunan atlet, pelapis dan pemain kebangsaan.

    Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada pendekatan whole of nation dengan penglibatan pelbagai agensi dalam menggalakkan gaya hidup sihat, di samping memperkukuh sukan tradisi sepak takraw yang telah lama bertapak di negara ini.

    Orang ramai dijemput hadir menyaksikan perlawanan serta majlis penutup dan penyampaian hadiah pada hari-hari berkenaan bagi memeriahkan serta memberikan sokongan kepada Kejohanan LSST TAIB 2024, di mana masuk adalah percuma.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda