Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    LIGS rancang bangunkan 40 hektar tanah di Pulau Banggi

    KOTA KINABALU, 14 APRIL – Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) merancang untuk membangunkan 40 hektar kawasan di Parcel B, Pulau Banggi dengan tanaman getah, melibatkan penyertaan 130 penduduk kampung, dengan peruntukan sebanyak RM5 juta tahun hadapan, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

    Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata LIGS komited dan optimis untuk membangunkan keseluruhan kawasan berkenaan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-13, yang dijangka memberi manfaat kepada 1,000 penduduk setempat sebagai peserta, terdiri daripada penoreh getah.

    Beliau berkata pembangunan keseluruhan kawasan Parcel B itu dijangka menyumbang impak ekonomi kira-kira RM40 juta setahun kepada pembangunan Pulau Banggi.

    “Kementerian ini melalui LIGS tidak bercadang untuk membubarkan pewartaan tanah Parcel B memandangkan peruntukan pembangunan daripada kerajaan Persekutuan berjumlah RM30 juta telah pun diluluskan,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan Datuk Mohammad Mohamarin (GRS–Banggi) berhubung sama ada LIGS bercadang membangunkan tanah miliknya seluas 2,000 hektar serta tanah yang telah diserahkan oleh FELCRA di Pulau Banggi.

    Menjelaskan lanjut, Kitingan berkata tanah milik LIGS iaitu di kawasan Parcel B Pulau Banggi adalah seluas 3,280 hektar dan bukannya 2,000 hektar, telah diwartakan kepada LIGS pada 2018 di bawah Seksyen 28 Ordinan Tanah Sabah.

    Katanya LIGS sedang dalam usaha untuk membangunkan keseluruhan kawasan Parcel B dan merangka pelan pembangunan secara berfasa bagi kawasan itu menggunakan peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan. – Bernama

    LIGS merancang untuk membangunkan 40 hektar kawasan di Parcel B, Pulau Banggi.
    – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda