Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liku-liku perjuangan ke arah negara Melayu Islam Beraja

    Oleh Dr. Muhammad Hadi bin Mohammad Melayong

    Pejabat Sekretariat, Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja

     

    SETELAH kegagalan Barisan Pemuda (BARIP) dan beberapa organisasi tempatan yang memperjuangkan kedaulatan Negeri Brunei dari kuasa British dalam era selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien terus berusaha untuk berunding secara langsung dengan perwakilan kerajaan Baginda Queen di Pejabat Setiausaha Negara Tanah Jajahan, di London mengenai masa depan politik Brunei. Bagaimanapun rombongan baginda juga menemui kegagalan.

    Dalam perjalanan ke London pada tahun 1950 Baginda telah gering sepertimana telegram yang diterima oleh Pengiran Bendahara Permaisuara Pengiran Muda Omar ‘Ali Saifuddien daripada Baginda Raja Isteri Tengku Ampuan Raihani pada 4 Jun 1950 dan pada hari yang sama pada sebelah petangnya Baginda dimaklumkan bahawa Sultan Ahmad Tajuddin telah lindung. Layuan Baginda Sultan telah dibawa balik ke Brunei melalui Labuan dari Singapura pada 5 Jun 1950 dan disemayamkan di Istana Al-Kahu Fiddunia, Batu 1 1/2, Jalan Tutong. Pada petang tersebut satu permesyuaratan khas telah diadakan untuk menentukan pengganti Sultan dan tempat memakamkan jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien yang dipengerusikan oleh Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Muhammad Yassin Bin Pengiran Tua Omar Ali. Hasil dari pemesyuaratan tersebut ahli-ahli yang hadir dalam majlis itu pun semua bersetuju dan satu ketetapan bahawa:

    Bahawa menurut Adat Istiadat Diraja Brunei turun-temurun seperti yang lazim diamalkan di Brunei ini maka dengan sendirinya Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Omar ‘Ali Saifuddien telah dijunjung untuk menjadi pengganti Sultan bagi Negara Brunei Darussalam. Istiadat Permakaman jenazah Al-Marhum itu akan dijalankan di Makam Diraja pada 19 Syaaban 1369 bersamaan 6 Jun 1950, jam 10.00.

    Menurut Mr. E.E.F Pretty (Residen British) bahawa Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin telah lindung di Singapura kerana sakit ‘haemorrhage’ dalam perjalanan ke London bagi lawatan rasmi. Layuan Baginda disemayamkan di Istana Besar, Johor Baharu dan pada keesokan hari diterbangkan oleh Angkatan Udara Diraja British dengan kapal terbang Dakota ke Labuan. Baginda berusia 36 tahun dan telah meraikan Jubli Perak pada tahun 1949. Berdasarkan kepada Adat Istiadat Diraja Brunei, ajaran agama Islam dan persetujuan rakyat melalui perwakilan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam iaitu Awang Muhammad Salleh bin Haji Awang Masri (Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Laila Wangsa Awang Haji Muhammad Salleh). Maka pada 6 Jun bertempat di Pejabat Besar Kerajaan yang disifatkan sebagai Lapau, Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Muhammad Yasin mengisytiharkan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Omar ‘Ali Saifuddien sebagai Sultan Brunei yang Ke-28 di hadapan jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddien. Hampir setahun pada 31 Mei 1951, Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien telah dipuspakan sebagai Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Selepas baginda menunaikan fardu haji pada bulan September 1951, maka Baginda mula mengorak langkah bagi menyusun semula pentadbiran kerajaan dengan membuat pembaharuan dalam semua bidang bagi meneruskan perjuangan menuntut kembali hak kedaulatan rakyat dan negara yang telah diperintiskan oleh kekanda Baginda dan golongan nasionalis Brunei dalam era sebelum dan selepas tamat Perang Dunia Kedua.

    Perpuspaan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien di Bandar Brunei pada tahun 1951.
    Perpuspaan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien di Bandar Brunei pada tahun 1951.

    MIB LOGO 2016 MFC

    Pengistiharan pertabalan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada 6 Jun 1950 di Pejabat Besar Kerajaan sebelum permakaman Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin.
    Pengistiharan pertabalan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada 6 Jun 1950 di Pejabat Besar Kerajaan sebelum permakaman Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin.

    Berasaskan kepada tafsiran ‘nasihat’ berdasarkan kepada Perjanjian 1905/06 dengan kerajaan British, Baginda telah dapat menguasai dan menghadkan kuasa serta pengaruh British Residen dalam pentadbiran Negeri Brunei. Oleh itu, setiap dasar yang hendak dilaksanakan oleh British Residen mesti disembahkan terlebih dahulu kepada Baginda. Ini tindakan dan strategi yang Baginda ambil dalam berhadapan dengan pegawai-pegawai British yang ternyata membawa kepada kejayaan dalam pengembalian semula kuasa pentadbiran dalam negeri sehingga tertanda Perjanjian Perlembagaan 1959 di mana kuasa pemerintahan dalam negeri dipegang balik Baginda Sultan.

    Di samping bagi mempastikan dasar pemedulian kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat Baginda terlaksana, maka dalam Majlis Mesyuarat Negeri baginda telah memperkenankan Rancangan Kemajuan Lima Tahun Pertama (RKN1) pada 29 Julai 1953 yang terlaksana pada 1954. Keutamaan bagi RKN1 ini ialah mengadakan pembangunan infrastruktur dalam negeri dan pembangunan sumber tenaga manusia untuk persediaan ke arah berkerajaan sendiri.

    Liku-liku perjuangan Baginda bagi pembentukan sebuah negara Melayu Islam Beraja ini mendapat rintangan bukan sahaja dari luar negera bahkan dalam negera yang tidak senang dengan cadangan pembangunan politik beracuankan Sistem Pemerintahan Beraja. Oleh itu dalam era 1950an dan 1960an terdapatnya perkembangan politik dalam dan luar negera. Inilah liku-liku perjuangan yang dihadapi oleh Baginda untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat Brunei melalui penyusunan semula dasar dan polisi pemerintahan dalam negera yang berdasarkan kepada muzakarah melalui penubuhan Majlis Mesyuarat Negeri supaya apa juga cadangan daripada ahli-ahli Yang Berhormat dapat dikaji untuk mengetahui faedah dan manfaat kepada rakyat dan negera. Dalam bidang politik untuk mengembalikan keutuhan Ketuanan Brunei, Baginda telah memperkenalkan bagi Perlembagaan Bertulis Negeri Brunei untuk dijadikan sandaran dan Undang-undang Negeri yang tertinggi dalam mempastikan kelangsungan pemerintahan beraja di bumi Brunei Darussalam.

    Bagaimanapun, meskipun Baginda berjaya mengembalikan kuasa pemerintahan dalam negeri melalui pengisytiharan Perlembagaan Negeri Brunei 1959 namun usaha ke arah status berkerajaan masih banyak halangan dan rintangan bukan sahaja daripada rakyat baginda sendiri bahkan dari pihak British dan juga perkembangan politik serantau. Bagaimana pun, sepanjang pemerintahan Baginda yang berlangsung hampir 17 tahun banyak rintangan dan cabaran yang telah dilalui dalam usaha mengembalikan kedaulatan Brunei khususnya daripada rakyat Baginda sendiri yang berhaluan kiri yang menyebabkan tercetusnya pemberontakan pada 8 Disember 1962. Inilah titik sejarah hitam yang berlaku dalam sejarah Brunei Moden akibat dari ketidak persamaan pendapat dan pandangan tentang idea politik. Meskipun, perjuangan yang ingin dicapai oleh setiap pihak adalah sama iaitu mengembalikan kedaulatan Brunei sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat namun bentuk dan sistem kerajaan yang akan ditubuhkan adalah berlainan dengan inspirasi dan wawasan Baginda Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien perbezaan ini menyebabkan berlakunya ketidaksamaan dan kesehaluan dalam mencapai matlamat pewujudan negara Melayu Islam Beraja yang telah kita miliki sejak 33 tahun yang lalu.

    “Semoga, semua liku-liku perjuangan yang pernah dilalui oleh Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien dan rakyat Brunei pada masa lalu dalam pengembalian Ketuanan Brunei berasaskan Melayu Islam Beraja dapat dijadikan iktibar dan pengajaran demi kelangsungan negara Melayu Islam Beraja. Sebagaimana titah Baginda Sultan bahawa:

    “Sejarah adalah lidah kebenaran: lidah yang paling petah.  Kita tidak boleh kunci lidah ini, melainkan, biarkan saja ia  berkata-kata, kerana kata-katanya itu sangat telus dan amat berharga.

    “Sejarah tidak boleh dibisukan.  Bangsa yang membisukan sejarahnya adalah pengecut.  Oleh itu, wajar bagi kita menjadi bangsa yang berani: berani menyoal serta menyuluh ke dalam diri sendiri.

    “Ini caranya kita belajar dari sejarah dan berguru kepada sejarah.  Bangsa yang suka berguru kepada sejarah adalah bangsa besar. Daripada sejarah kita bermula, dan daripada sejarah juga kita melakar nama.  Demikianlah hebatnya sejarah itu.

    “Sejarah Brunei Darussalam, sedia terisi dengan satu ‘nilai besar’, Melayu Islam Beraja (MIB).  Ia bukanlah pilihan tetapi anugerah.  Anugerah daripada Allah Subhanahu Wataala.  Selaku anugerah, nilainya tentulah lebih tinggi daripada apa yang dihasilkan oleh tangan sendiri.

    “Ia menuntut kepada tanggungjawab, dan tanggungjawab itu pula bernama ‘amanah’.

    “Siapakah yang bertanggungjawab itu?  Jawabnya ialah kita semua, selaku bangsa dan rakyat.  Kita jawat anugerah ini, dan berikutnya kita pelihara ia, kita pakai dan kita pupuk terus, sebagai kebanggaan dan warisan.

    “Jangan biarkan ia pudar atau dipudarkan oleh sebarang pengaruh, sama ada pengaruh ideologi atau sistem, MIB, mungkin saja ada yang tidak sebulu.

    “MIB jiwa raga Brunei.  Ia tidak boleh dilihat dengan kaca mata biasa, tetapi perlu ditanggapi dengan kefahaman dan kesedaran.

    “Setiap orang perlu faham dan sedar, bahawa MIB bukan ‘jalan sempit’, tetapi sebuah lebuh raya yang panjang dan luas.  Ia menjanjikan keselesaan dan kebajikan untuk semua.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda