BELGRADE, 30 MAC – Lilitan lengan ketua pasukan Portugal yang dilemparkan oleh Cristiano Ronaldo ke tanah selepas golnya dibatalkan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Serbia akan dilelong pada hari ini.
Kumpulan kebajikan yang cuba mengumpul dana bagi pembedahan seorang anak damit lelaki berusia 6 bulan dari Serbia mendapatkan lilitan lengan tersebut dari seorang pekerja stadium yang mengambilnya selepas perlawanan berkesudahan seri 2-2 pada Sabtu di Belgrade.
Kumpulan tersebut berkata bahawa lilitan lengan berwarna biru dengan huruf ‘C’ akan dijual secara dalam talian selama tiga hari.
Ronaldo meninggalkan padang beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan sejurus gol pada masa kecederaan dibatalkan oleh pengadil perlawanan. Pemain Juventus itu merembat bola melepasi penjaga gol Serbia dan ia kelihatan melepasi garisan sebelum dikeluarkan oleh pertahanan lawan.
Semasa menuju terus ke bilik persalinan sebelum wisel penamat, Ronaldo dengan marah melemparkan lilitan lengan ketua pasukan berhampiran garisan tepi padang.
Ronaldo secara terbuka mengkritik tindakan tersebut dan percaya kemarahannya mungkin menyebabkan penggantungan jika badan pengurusan merasakan tindakannya sebagai tindakan keras.- AP