NEW YORK, 3 JULAI – Bintang Portland Trail Blazers, Damian Lillard, telah meminta pertukaran pasukan dan pemenang NBA All-Star tujuh kali itu memilih untuk bermain bersama Miami Heat, menurut beberapa laporan Sabtu lalu.
Lillard, yang berusia 33 tahun pada 15 Julai, dijangka menerima bayaran sebanyak AS$204 juta dalam tempoh empat tahun akan datang. Dia telah menghabiskan kesemua 11 kempen NBAnya bersama Portland tetapi hanya berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir sekali dalam lapan perlawanan playoff.
Permintaan Lillard dilaporkan oleh ESPN dan The Athletic dengan Miami Herald juga melaporkan Lillard hanya berhasrat bermain bersama Heat, memandangkan dia merupakan sahabat rapat kepada bintang Heat, Bam Adebayo dan menghormati penyerang, Jimmy Butler.
Butler dan Adebayo memainkan peranan utama dalam perjalanan Heat dari peringkat play-in sehingga ke Final NBA bulan lalu, walaupun Miami akhirnya tewas kepada Denver Nuggets.
Lillard mencatatkan purata 32.2 mata dan 7.3 assist dan menyamai pencapaian terbaik kerjaya dengan mencatat 46.3 peratus dalam 58 perlawanan musim lalu. ESPN melaporkan bahawa dia akan menjadi pemain dengan jumlah mata terbanyak dalam sejarah NBA yang berpindah pasukan untuk musim depan.
“Kami mahu Dame di sini tetapi dia memberitahu kami hari ini dia mahu keluar dan dia lebih suka bermain di tempat lain,” kata pengurus besar Trail Blazers, Joe Cronin.
“Apa yang tidak berubah untuk kami ialah kami komited untuk menang, dan kami akan melakukan yang terbaik untuk pasukan dalam mencapai matlamat itu,” tambahnya.
Portland menamatkan saingan 33-49 dan terlepas playoff untuk musim kedua berturut-turut. – AFP


