PUTRAJAYA, 30 Mei – Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi menangani masalah hutang negara boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank yang khas, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata penubuhan tabung itu yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Kabinet hari ini, adalah bagi membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan rakyat secara sistematik dan telus.
“Derma dan sumbangan yang boleh dihulurkan adalah dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Lim turut merakamkan penghargaan bagi pihak kerajaan di atas keprihatinan dan segala sumbangan ikhlas rakyat Malaysia dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa.
Menurutnya berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan. – Bernama