NEW YORK, 3 JAN – Meskipun sistem Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kini berdepan kritikan, Algeria, Guyana, Korea Selatan, Sierra Leone dan Slovenia kelmarin secara rasmi mengambil peranan sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB untuk tempoh dua tahun, lapor agensi Anadolu.
Lima anggota baharu terbabit menggantikan Albania, Brazil, Gabon, Ghana dan Emiriah Arab Bersatu yang tempoh dua tahun mereka berakhir pada 31 Disember.
Kesemua anggota baharu yang dipilih ketika Perhimpunan Agung PBB pada Jun lalu akan berkhidmat dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025.
UNSC terdiri daripada 15 negara termasuk lima anggota tetap iaitu China, Perancis, Rusia, Britain dan Amerika Syarikat (AS). Hanya anggota tetap mempunyai hak untuk menggunakan kuasa veto terhadap sebarang ketetapan atau keputusan.
Baki 10 kerusi diisi oleh anggota tidak tetap, dengan lima kerusi tertakluk kepada pertukaran setiap tahun. – Bernama
