BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Seramai lima orang atlet bawah 15 tahun (B15) dari negara ini telah berlepas ke Jakarta, Indonesia hari ini bagi menyertai Kejohanan Pingpong Belia Asia Tenggara 2025 yang akan berlangsung dari 17 hingga 22 April ini.
Kejohanan tersebut akan diadakan di Pusat Sukan Sumantri, Kuningan, Jakarta dan menghimpunkan pemain-pemain muda dari seluruh rantau Asia Tenggara dalam acara berpasukan, perseorangan dan beregu bagi kategori B15 lelaki dan perempuan.
Pasukan negara terdiri daripada tiga atlet lelaki dan dua atlet perempuan dan diketuai oleh Presiden Persatuan Pingpong Brunei Darussalam (BDTTA), Haji Amrinal bin Haji Amir, serta diiringi oleh jurulatih, Wong Khuan Shang.
Menurut BDTTA, penyertaan ini bukan sahaja memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain-pemain muda negara, malah merupakan peluang untuk mengasah kemahiran dan mempertingkat prestasi di pentas serantau.
Pasukan dijadualkan kembali ke tanah air pada 23 April nanti.
