Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Lima bakal jemaah haji terdiri daripada kakitangan Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) dan Gleneagles JPMC diraikan dalam Majlis Doa Selamat yang berlangsung di Surau Utama, JPMC, hari ini.
Majlis yang dikendalikan oleh JPMC menerusi Jawatankuasa Ibadah Friendly Hospital (IFH) itu dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam kapasitinya selaku Pengerusi Lembaga Eksekutif JPMC.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay Boon Chye, pihak pengurusan kanan JPMC, ketua-ketua jabatan dan kakitangan daripada JPMC dan Gleneagles JPMC.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Jawatankuasa IFH, Haji Ishkandar bin Haji Buntar di mana beliau menekankan pentingnya doa dan niat.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada lima orang bakal jemaah haji yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan diteruskan dengan Doa Kesyukuran untuk memohon perlindungan dan keberkatan bagi bakal-bakal jemaah haji sepanjang perjalanan mereka.
Sumbangan berkenaan merupakan hasil daripada Jawatankuasa IFH JPMC dan Gleneagles JPMC sebagai tanda sokongan dan ucapan selamat.
Jawatankuasa IFH JPMC bermatlamat menjadi sebuah model bagi institusi penjagaan kesihatan Islam yang menyediakan penjagaan belas kasihan dan holistik menangani keperluan rohani, fizikal dan emosi para pesakit selaras dengan konsep Negara Zikir.