Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Seramai lima finalis hari ini bertanding dalam pertandingan The Coffee Bean & Tea Leaf® Barista Champion yang diadakan pagi tadi di MyTown Palace, Beribi.
Muncul sebagai johan adalah Khairun Nasrullah bin Haji Ismail, manakala tempat kedua dimenangi oleh Mohammaf Syukri bin Mohammad Rosli dan tempat ketiga dimenangi oleh Mischel Antazo.
Pertandingan berkenaan dihadiri oleh tetamu kehormat dan Naib Pengerusi, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Mun’im Pengiran Tahiruddin.
Pertandingan berkenaan menyaksikan para peserta menyediakan tiga jenis minuman iaitu espresso, cappuccino dan minuman istimewa ciptaan mereka sendiri kepada penonton secara langsung dalam had masa yang diberikan. Peserta dinilai berdasarkan kemahiran teknikal, rasa produk, penyampaian dan kreativiti. Peserta juga turut dinilai berdasarkan penyampaian kemahiran mereka, kreativiti pada minuman istimewa mereka, suhu dan keseimbangan kemanisan.
Johan pertandingan akan mewakili Negara Brunei Darussalam di Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 18 hingga 20 September nanti.
“Kejohanan Barista The Coffee Bean & Tea Leaf bukan sekadar meraikan barista kami tetapi juga peluang mempamerkan kreativiti dan kemahiran mereka. Pertandingan ini memang sangat mencabar, ia mempamerkan kepakaran dengan gaya masing-masing melalui minuman istimewa mereka dan memberi inspirasi kepada ciptaan baharu kopi mereka,” kata Pengurus Besar, Art Terrado.
Acara ini turut dihadiri oleh empat juri jemputan yang diundang iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Abdul Anak Munim Pengiran Tahiruddin, Naib Pengerusi The Coffee Bean & Tea Leaf; Awang Ait, pelanggan setia yang diundang dari The Coffee Bean & Tea Leaf; Hajah Hayati Haji Maidin, Naib Presiden Kanan, Digital Business DST dan Samuel Johannes Chin Xuen Chen, pemilik Relative Coffee Roasters.