LIMA, 1 Ogos – Dua kereta api yang membawa pelancong ke kota purba terkenal Peru, Machu Picchu, bertembung pada awal kelmarin menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang tercedera dengan dua daripada mereka kritikal, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.
Nahas di sepanjang laluan kereta api yang menghubungkan pekan Cusco dengan tapak arkeologi Inca itu berlaku pada kira-kira 10.20 pagi waktu tempatan ‘apabila kereta api milik Inca Rail merempuh kereta api milik PeruRail,’ laporan agensi berita rasmi Andina di laman sesawangnya.
Kereta api pertama telah berhenti tanpa mengikut jadual ‘kerana sekumpulan pelancong tempatan mengadakan tunjuk perasaan dan menghalang laluan kereta api,’ menurut seorang penumpang.
Andina melaporkan bahawa sumber polis memaklumkan kumpulan penunjuk perasaan itu, yang terdiri daripada 30 orang, marah kerana tidak dapat membeli tiket untuk ke tapak arkeologi.

“Kami telah dihentikan selama kira-kira sejam. Kemudian penunjuk perasaan bersurai, kereta api meneruskan perjalanan dan selepas lima minit, kami merasakan impak kuat dari bahagian belakang (kereta api),” katanya.
Dua penumpang yang cedera parah telah dipindahkan ke Cusco.
Setiap hari, kira-kira 2,500 pelancong tempatan dan antarabangsa berkunjung ke Machu Picchu, sebuah tapak Warisan Dunia yang disenaraikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) serta terletak di wilayah pergunungan Andean di selatan Peru. – Bernama