HOUSTON, 12 FEB – Lima orang cedera kelmarin selepas berlaku letupan di pusat operasi transit bas di El Paso, sebuah bandar di negeri Texas, Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua memetik Jabatan Bomba El Paso.
Seorang mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius, menurut akhbar El Paso Times.
Kebakaran tercetus di kawasan garaj penyelenggaraan bas di Pusat Operasi Transit Sun Metro, kira-kira 5.6 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa El Paso, sekitar 1 tengah hari waktu tempatan kelmarin.
Letupan itu menyebabkan ‘kerosakan teruk’ pada bangunan berkenaan, dengan bumbung dan dinding runtuh, kata Penolong Ketua Jabatan Bomba El Paso, Robert Arvizu. Bagaimanapun, tiada anggota bomba yang tercedera.
Lebih 100 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian, menurut Arvizu. Kepulan asap hitam tebal dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer, berdasarkan gambar dan video yang dikongsi di media sosial.
Penutupan jalan di sekitar lokasi letupan dijangka berlarutan selama beberapa jam, menurut El Paso Times.
Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa El Paso tidak terjejas, pegawai bandar mengesahkan. Siasatan mengenai insiden itu sedang dijalankan. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/Envato-3.jpg)