SIBU, 27 Feb – Polis memberkas lima lelaki bagi membantu siasatan kejadian merusuh di sebuah restoran di Jalan Pahlawan di sini malam tadi yang mengakibatkan seorang pekerja cedera.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek yang berusia antara 18 dan 31 tahun telah direman selama dua hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 (khianat), Seksyen 147 (merusuh) dan Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan) kesemuanya di bawah Kanun Keseksaan.
Katanya, kelima-lima suspek yang diberkas sejurus selepas kejadian dilaporkan pada lebih kurang 9.30 malam itu turut dirujuk kepada Jabatan Nakortik untuk menjalani saringan air kencing.
Menurutnya, pemilik restoran berusia 56 tahun dimaklumkan pekerjanya bahawa premis tersebut telah diganggu oleh orang tidak dikenali selepas berlakunya salah faham di antara seorang pelayan dan suspek berhubung pesanan makanan.