Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima dikenakan tindakan dalam Operasi Sepadu

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Operasi Sepadu melibatkan agensi
    penguatkuasaan undang-undang di negara ini telah dikendalikan di Daerah Tutong
    baru-baru ini.

    Seramai 105 orang pegawai dan ahli penguatkuasaan telah mengambil bahagian dalam
    operasi yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Shahrin bin Serbini.

    Agensi berkenaan adalah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang terdiri daripada Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia dan Unit Hal Ehwal Luar Interpol dan ASEANAPOL, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Buruh dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN).

    Menerusi operasi yang dijalankan, pemeriksaan telah dilakukan di empat lokasi sasaran yang tertumpu di kawasan kediaman rumah para pekerja warga asing yang bekerja di bawah tadahan Daerah Tutong.

    Hasil daripada operasi sepadu tersebut, beberapa kesalahan telah dicatat di bawah akta masing-masing di mana tiga orang warga asing telah dikenakan tindakan dan dikeluarkan pas khas oleh JIPK. Manakala dua orang warga asing lagi diambil tindakan oleh pihak JKED atas kesalahan memiliki barang tegahan.

    Agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa teguh dalam melaksanakan undang-undang di negara ini dengan matlamat bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan dan keamanan di negara ini.

    PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan orang
    ramai agar sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam
    perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak
    diingini daripada berlaku tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.

    Pegawai agensi penguatkuasaan undang-undang semasa menjalankan Operasi Sepadu di Daerah Tutong baru-baru ini. – Gambar serahan PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda