Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima disekat, disyaki terlibat perdagangan organ

    JAKARTA, 12 NOV – Imigresen Indonesia di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya, Jawa Timur, pada Sabtu menghalang lima rakyatnya daripada menaiki penerbangan ke India, disyaki cuba untuk menjual organ mereka.

    Semasa pemeriksaan rutin, seorang individu mendakwa dia sedang dalam perjalanan untuk rawatan perubatan tetapi gagal memberikan butiran lanjut. Pemeriksaan ke atas dokumen dan komunikasi beliau mendedahkan kaitan dengan skim pemindahan buah pinggang haram.

    Ketua Pejabat Imigresen Kelas 1 Surabaya, Ramdhani, dalam satu kenyataan kelmarin berkata lelaki berkenaan pada mulanya mendakwa mahu ke India untuk rawatan isteri, namun siasatan lanjut mendedahkan motif berbeza.

    “Kami menemui kaitan dengan pemindahan organ haram dan mendapati ini bukan kes terpencil,” katanya, sambil menambah bahawa empat individu lain turut terlibat dalam aktiviti yang serupa.

    Akibatnya, kelima-lima individu terlibat dilarang menaiki penerbangan mereka, dan siasatan lanjut mendedahkan bukti kewujudan rangkaian teratur yang berkemungkinan terlibat dalam aktiviti penjualan organ secara haram.

    “Mereka mempunyai hubungan dengan penderma, orang tengah, dan menggunakan platform dalam talian untuk mengatur transaksi haram ini,” kata Ramdhani.

    Pihak berkuasa memulakan siasatan penuh, termasuk semakan terhadap sejarah perjalanan suspek, dalam usaha untuk mencegah perdagangan manusia dan melindungi sempadan Indonesia. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda