Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima ditahan miliki barang tegahan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JKED

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Lima orang telah ditahan kerana dipercayai pemilik barang-barang tegahan yang ditemui dalam dua Gerakan Gabungan Operasi Laut Darat (GOLD) yang dijalankan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) pada 27 dan 28 Oktober lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JKED, gerakan operasi pada 27 Oktober yang menyasarkan sebuah rumah di Kampung Saba Tengah telah berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita warganegara tempatan yang berumur lingkungan 23 dan 41 tahun yang terlibat dan dipercayai pemilik barang-barang tegahan kastam iaitu 19 botol dan 120 tin minuman keras pelbagai jenis serta 667 karton, 287 paket dan 15 batang rokok pelbagai jenis.

    Sementara itu, gerakan operasi kedua yang menyasarkan dua lokasi berasingan di Jalan Kumbang Pasang telah berjaya menahan tiga individu iaitu dua orang lelaki masing-masing penduduk tetap dan warganegara Malaysia serta seorang perempuan warganegara Malaysia yang berumur lingkungan 48 hingga 59 tahun.

    Kenyataan menyatakan, mereka terlibat dan dipercayai pemilik barang-barang tegahan kastam iaitu 14 botol dan 128 tin minuman keras pelbagai jenis, empat paket dan 19 batang rokok pelbagai jenis.

    Kesemua barang tegahan telah dirampas dan mereka yang disyaki terlibat telah dibawa ke bahagian penguatkuasaan undang-undang untuk siasatan lanjut.

    JKED menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan dan jua larangan tanpa sebarang kebenaran daripada agensi-agensi berkepentingan yang mengawal barang-barang tersebut.

    Antara minuman keras dan rokok yang dirampas oleh anggota penguatkuasa JKED dalam operasi yang dijalankan pada 27 dan 28 Oktober lalu.
    Anggota penguatkuasa menjalankan pemeriksaan di salah satu lokasi semasa operasi Gerakan Gabungan Operasi Laut Darat (GOLD) pada 27 dan 28 Oktober lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda