Wednesday, April 16, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima dron dasar laut ditemui nelayan Filipina

    MANILA, 15 APRIL – Tentera Filipina hari ini, mendedahkan bahawa lima dron dasar laut yang ditemui oleh nelayan tempatan berkeupayaan untuk mengumpul maklumat yang boleh digunakan dalam ‘perang bawah laut’, dengan sekurang-kurangnya satu daripada dron itu dikesan menghantar isyarat ke China.

    Pendedahan ini dibuat selepas beberapa bulan insiden ketegangan dan pertembungan antara Filipina dan China di perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan, dan ketika Manila sedang bersiap sedia untuk mengadakan latihan ketenteraan berskala besar bersama sekutu perjanjian mereka, Amerika Syarikat (AS), bulan ini.

    Menurut pegawai tentera Filipina dalam satu sidang media hari ini, dron-dron tersebut telah ditemui antara tahun 2022 hingga 2024 di lokasi-lokasi yang amat penting dari segi strategi pertahanan dan keselamatan, bukan sahaja untuk negara tetapi juga bagi laluan perkapalan antarabangsa.

    Data yang dikumpulkan oleh dron-dron itu dipercayai mempunyai tujuan ‘melebihi sekadar navigasi’, kata Laksamana Muda Roy Vincent Trinidad, sambil menegaskan bahawa maklumat tersebut boleh digunakan untuk ‘perang bawah laut’, pengesanan ancaman serta ujian persenjataan di bawah permukaan laut.

    Walaupun enggan membuat pengesahan rasmi mengenai asal-usul dron berkenaan, Trinidad memaklumkan bahawa beberapa unit memiliki tanda pengenalan dalam tulisan China, dan sekurang-kurangnya satu daripada dron itu didapati pernah menghantar isyarat ke China.

    Brigedier Jeneral Michael Logico (kiri), penolong pengarah latihan dan jurucakap bagi latihan ketenteraan bersama Filipina-AS ‘Balikatan’, mengadakan sidang media di Kem Aguinaldo, Manila, pada 15 April. – AFP

    “Berdasarkan kajian teknikal forensik terhadap kad SIM yang ditemui dalam salah satu daripada lima dron itu, komunikasi terakhir kad tersebut dikesan berlaku di tanah besar China,” jelas Trinidad, yang juga jurucakap tentera laut bagi isu-isu berkaitan Laut China Selatan.

    Tambahnya, tiga daripada dron berkenaan ditemui di perairan utara pulau utama Filipina, Luzon — termasuk dua unit yang berhampiran dengan Saluran Balintang di selatan Taiwan.

    Dua lagi dron ditemui di lokasi yang dikenali sebagai ‘titik sempit kritikal’, masing-masing berhampiran Pulau Masbate di tengah Filipina, dan satu lagi berhampiran Pulau Mindanao di selatan negara itu.

    Kedutaan China setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas berhubung isu ini.

    Dalam perkembangan berasingan, Filipina turut mengumumkan hari ini bahawa latihan ketenteraan tahunan Balikatan bersama AS tahun ini akan merangkumi ujian pertahanan peluru berpandu udara bersepadu buat kali pertama.

    Latihan bersama itu, yang akan melibatkan sekitar 10,000 anggota tentera, dijadualkan berlangsung dari 21 April hingga 9 Mei. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda