TOKYO, 8 MEI – Lima kakitangan mengalami kecederaan ringan di sebuah sekolah rendah di Tokyo selepas dua lelaki menceroboh kawasan sekolah hari ini, lapor media Jepun, namun tiada laporan segera mengenai sebarang kecederaan pelajar.
Menurut Fuji TV yang memetik sumber polis, dua lelaki tersebut yang kini telah ditahan memecahkan tingkap dan memasuki sebuah bilik darjah dua.
Pihak polis belum mengesahkan kejadian itu apabila dihubungi oleh AFP. Laporan awal menyatakan empat kakitangan cedera.
Insiden itu berlaku di Sekolah Rendah Tachikawa Daisan, barat ibu negara Jepun, pada pagi tadi, menurut penyiar awam NHK.
Laman web sekolah berkenaan menyatakan ia mempunyai lebih daripada 500 murid dan lebih 30 orang kakitangan. Pelajar darjah dua di Jepun biasanya berumur antara tujuh hingga lapan tahun.
Rakaman televisyen dari lokasi menunjukkan pasukan menyelamat dan pegawai polis berada di dalam dan sekitar kawasan sekolah, manakala jiran tetangga yang kelihatan bimbang memerhati dari luar.
Jenayah ganas adalah sesuatu yang jarang berlaku di Jepun, yang mempunyai kadar pembunuhan rendah serta undang-undang senjata api antara yang paling ketat di dunia.
Namun, kejadian serangan ganas juga berlaku sekali-sekala, termasuk satu kejadian yang berlaku sehari sebelumnya apabila seorang lelaki dituduh cuba membunuh dalam insiden serangan menggunakan pisau di dalam kereta api bawah tanah Tokyo semasa waktu paling sibuk, mengakibatkan dua orang cedera. – AFP
