BALIK PULAU, 22 JUN – Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai menjadi keldai akaun kepada pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along, dalam serbuan di Bayan Lepas di sini semalam.
Menurut kenyataan dalam Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, lelaki berumur 32 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung beberapa kejadian ugutan dan simbah cat merah di rumah mangsa.
“Mangsa yang membuat laporan polis itu memaklumkan rumahnya telah disimbah cat berwarna merah di bahagian kawasan parkir, tempat penghadang cahaya bahagian bumbung rumah dan juga bahagian luar pagar rumah disyaki perbuatan along.
“Ini kerana sebelum itu mangsa ada menerima ugutan daripada nombor telefon yang tidak dikenali memintanya membayar pinjaman yang dibuat, pemeriksaan mendapati nombor tersebut ialah milik lelaki yang ditahan itu,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan lelaki yang ditahan itu merupakan keldai akaun bagi kes terbabit dan dia direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. – Bernama
