Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Sebanyak lima buah keluarga mualaf di Daerah Brunei dan Muara pagi tadi menerima sumbangan infak berupa makanan asasi melalui Projek Fathul Barakah 6.0 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan kerjasama Persatuan Saudara-saudara Baru Negara Brunei Darussalam.
Majlis penyerahan dilaksanakan dengan mengunjungi kediaman para penerima asnaf mualaf di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mengkubau yang diketuai oleh Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh. Turut menyertai rombongan tersebut ialah Pegawai Ugama Kanan, PDI, Awang Ruslan bin Haji Sulaiman; Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, PDI, Datin Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub; dan Yang Dipertua Persatuan Nurul Islam (PNI), Haji Mohd Hazwan bin Abdullah, serta ahli-ahli PNI.
Penyerahan sumbangan infak itu bertujuan sebagai satu sarana dakwah dalam memeduli kesejahteraan perkembangan kehidupan serta kebajikan asnaf mualaf bagi menjamin kehidupan yang lebih baik dan meringankan beban mereka dalam membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan agar dapat melaksanakan ibadah puasa dengan selesa dan sempurna. Selain itu ia juga untuk meringankan beban para asnaf mualaf dalam memenuhi keperluan harian, terutama dalam persiapan menyambut kedatangan bulan Ramadan yang akan tiba.
Dengan adanya projek seumpama ini, dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara para mualaf dengan warga PDI dalam sama-sama mengungkayahkan kerja-kerja berkebajikan untuk kesejahteraan mualaf khususnya di Negara Brunei Darussalam.