BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Lima kesalahan telah dikesan semasa Operasi Waspada 132/2025 yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di Kampung Menglait pada 5 Julai.
Pemeriksaan ke atas bengkel membaiki kereta telah mendapati kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan iaitu Bab 39(2) gagal membayar gaji kerja lebih masa, Bab 64 bekerja pada hari rehat, Bab 70 gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71 gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja dan Bab 72 gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan.
Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Buruh ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti membayar gaji kerja lebih masa, memberikan cuti rehat sehari dalam seminggu atau mana-mana hari di minggu tersebut, memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan dan memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.