Air beras telah menjadi rahsia kecantikan selama ratusan tahun lamanya. Khasiat air beras telah memberikan manfaat luaran yang luar biasa bukan sahaja untuk rambut tetapi untuk kulit wajah awda. Ia telah digunakan untuk tujuan kecantikan kerana mengandungi asid amino, iaitu sejenis protein, vitamin B, inositol, dan juga vitamin E yang baik untuk kulit awda.
Dengan memahami khasiat air beras, kita dapat mengaplikasikan pengetahuan ini ke dalam rutin kecantikan harian, mencipta rutin semula jadi dan berkesan untuk merawat kulit dengan penuh kasih sayang. Oleh itu, berikut adalah lima khasiat air beras yang perlu awda tahu.
1. MENCERAHKAN KULIT
Inositol dalam air beras bukan sahaja memberikan manfaat untuk kelembapan kulit, tetapi juga dalam mengawal pengeluaran melanin, yang memberikan warna pada kulit.
Keupayaannya untuk membantu mencerahkan kulit menjadikan air beras sebagai pilihan yang popular dalam rutin kecantikan. Dengan penggunaan yang kerap, ia dapat membantu mencapai tona kulit yang lebih sekata dan mengatasi masalah pigmentasi, meninggalkan kulit kelihatan lebih cerah dan sihat.
2. MENCEGAH MASALAH JERAWAT
Air beras mempunyai antioksidan yang boleh membantu mencegah masalah jerawat awda.
Kandungan vitamin B dan insitol di dalamnya boleh memberikan manfaat penting dalam merangsang kolagen pada kulit, yang berperanan menjaga struktur dan kelembutan kulit, sekali gus dapat mengurangkan masalah jerawat. Dengan penggunaan yang kerap, ia boleh menjadikan kulit awda kelihatan lebih sihat dan bebas jerawat.
3. MENGECILKAN LIANG PORI
Menggunakan air beras pada wajah boleh membantu mengecilkan pori-pori dan menjadikan kulit awda kelihatan lebih licin dan bersih. Hanya dengan menyapukan air beras dengan menggunakan kaedah semburan dalam botol atau awda boleh menggunakan kapas muka lalu sapu ke bahagian wajah awda. Ia boleh membantu mengurangkan saiz liang pori dan membuatkan awda berasa lebih yakin dengan penampilan.
4. MEMBAIKI RAMBUT ROSAK
Air beras diperkaya dengan bahan baik untuk rambut seperti vitamin dan nutrien boleh meningkatkan kesihatan rambut terutama bagi yang memiliki rambut rosak. Dengan hanya perlu menuangkan air beras pada rambut awda selepas mencuci kemudian membiarkannya sebentar, dan membilasnya dengan air biasa. Jika awda menjadikannya sebagai rutin dalam penjagaan rambut, masalah rambut gugur dan rosak akan pulih serta rambut awda akan kelihatan lebih berkilau dan sihat.
5. MERAWAT MASALAH KELEMUMUR
Air beras mempunyai kandungan istimewa di dalamnya yang dapat membantu meredakan kegatalan dan menghilangkan kelemumur pada kulit kepala awda.
Di samping itu, ia juga dapat memastikan kepala awda tidak terlalu kering atau berminyak, yang boleh menyebabkan punca terjadinya kelemumur. Jadi, jika awda kerap menggunakan air beras, kepala awda akan menjadi lebih baik dan tidak perlu risau tentang kelemumur lagi. – Agensi