Monday, December 23, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima lagi rumah bantuan bakal dibina

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Lima buah rumah Skim Bantuan Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) untuk golongan yang memerlukan akan mula dibina pada bulan November tahun ini, iaitu tiga buah rumah di Daerah Temburong yang dikontrakkan kepada Syarikat The Ruman Power Co, sebuah rumah di Daerah Belait serta sebuah rumah di Daerah Brunei dan Muara yang dikontrakkan kepada Syarikat Impian Reka Bina Sdn Bhd.

    Sehubungan itu, Yayasan mengadakan Majlis Menandatangani Kontrak Perjanjian Pembinaan Rumah Bantuan di bawah Bantuan Skim Perumahan Yayasan bertempat di Dewan Serba guna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, Bandar Seri Begawan.

    Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan penandatanganan kontrak antara Yayasan dan kedua-dua syarikat yang dilantik iaitu Syarikat The Ruman Power Co dan Syarikat Impian Reka Bina Sdn Bhd.

    Menandatangani bagi pihak Yayasan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan juga Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan Yayasan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.

    Penandatanganan kontrak perjanjian disaksikan oleh tetamu kehormat majlis, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar bersama wakil Syarikat Impian Reka Bina Sdn Bhd pada majlis penandatanganan tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar bersama wakil Syarikat The Ruman Power Co. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Bagi kontrak perjanjian ini, konsep dan reka bentuk pembinaan rumah bantuan Yayasan adalah lebih moden dan setara dengan teknologi semasa dalam keperluan pembangunan rumah kos rendah yang juga dapat disiapkan sepenuhnya dalam jangka masa pendek.

    Projek bantuan perumahan di bawah Bantuan Skim Perumahan Yayasan dikhususkan kepada rakyat yang kurang berkemampuan dan keadaan tempat tinggal mereka
    daif dan tidak selamat untuk didiami.

    Bantuan ini juga dihasratkan bagi memberikan mereka peluang untuk memperbaiki taraf hidup keluarga dalam semua aspek kehidupan.

    Menurut kenyataan, dari mula projek bantuan perumahan dilaksanakan oleh Yayasan pada tahun 1996 sehingga kini, sebanyak 176 buah rumah telah dibina di seluruh negara bagi memberikan harapan baharu kepada 176 buah keluarga untuk meneruskan kehidupan harian mereka dalam persekitaran rumah yang selesa dan selamat.

    Turut hadir pada majlis penandatanganan tersebut ialah pegawai-pegawai kanan di jabatan kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda