Oleh Adiiwira
Setakat ini, berapakah harga makanan termahal yang anda pernah pesan? $50?$100? Atau melebihi nilai yang saya jelaskan.
Apakah perasaan anda setelah menikmati makanan termahal tersebut? Adakah luar biasa atau sama sahaja dengan makanan yang sama pada kadar harga yang murah?
Memang tidak dinafikan sesetengah orang ingin merasa makanan termahal dalam seumur hidup walau hanya sekali. Tidak kiralah sama ada ia berbentuk makanan berat atau sekadar makanan pencuci mulut. Bagi penulis sendiri, makanan termahal penulis bernilai $8 bagi satu hidangan stik ayam berserta ubi kentang. Itu pun bagi penulis, rasanya lebih baik yang berharga murah kerana lebih menepati cita rasa penulis. Namun tidak semua makanan mahal tidak sesedap makanan yang pernah penulis cuba kerana ada sesetengah makanan yang mahal ini memiliki keistimewaannya tersendiri.
Setakat ini, di negara kita belum ada makanan yang mencecah hingga ribuan ringgit bagi satu hidangan, mungkin ada bernilai di bawah $100. Walau bagaimanapun, adakah anda sanggup mengorbankan sejumlah wang yang banyak bagi satu hidangan yang nilainya tidak masuk akal.
Saya rasa mungkin orang yang taraf kekayaan diri mereka bernilai jutaan mungkin sanggup menghabiskan wang bagi hidangan yang hanya dinikmati buat seketika berbanding menghabiskan wang untuk membantu golongan susah.
Dalam ruangan ini penulis ingin mengongsikan lima makanan termahal di dunia setakat ini bermula dari urutan kelima hingga pertama.





5- The Fortress Stilt Fishermen Indulgence – AS$14,593.78
Pencuci mulut ini merupakan sejenis kek yang berperisa krim Irish yang menampilkan buah-buahan iaitu gabungan antara mangga dan delima melalui teknik ‘infusion’. Hiasan yang melengkapi kek ini adalah struktur besi dan nelayan yang diperbuat daripada coklat yang diukir tangan dan hiasannya disempurnakan dengan batu Aquamarine 80 karat.
4- English Wagyu Beef Pie – AS$16,002.36
Pai ini mengandungi daging lembu Wagyu yang bernilai AS$1,006.47, cendawan matsutake (AS$100.65 bagi 100 gram), truffle hitam dan daun emas. Menurut cef yang menghasilkan pai termahal ini, ia lebih sedap daripada pai versi asal, dan sememangnya berbaloi dengan harga yang diletakkan. Bagi penulis nilainya sudah setanding sebuah kereta baharu di negara kita.
3- The Frrrozen Haute Chocolate Ice Cream Sundae – AS$25,187.55
Berapakah harga ais krim termahal yang anda pernah makan? Kalau penulis paling mahal $1.30. Apakah rasanya ais krim yang bernilai ribuan ringgit ini? Mungkin rasanya sebanding dengan harganya.
Ais krim coklat ini diperbuat daripada 28 jenis koko dan 14 daripadanya adalah koko yang paling mahal di dunia. Di samping itu, cawan untuk menghidangkan ais krim ini juga dihiasi dengan emas yang boleh dimakan.
Malah, sesiapa yang memakan ais krim ini akan menerima sebentuk gelang tangan emas 18 karat bertatahkan berlian 1 karat serta dibenarkan membawa balik sudu emas bertatahkan berlian.
2- Almas Caviar – AS$26,337.46
Makanan yang mencecah ribuan ringgit ini merupakan sejenis telur ikan. Namun, telur ikan ini bukan telur ikan yang biasa-biasa. Hal ini kerana telur ikan ini diperolehi daripada ikan yang sangat jarang ditemui iaitu Albino Beluga Sturgeon. Ia memiliki warna putih mutiara dan mempunyai tekstur seperti span.
Di samping itu juga, telur ikan yang diperolehi itu daripada ikan yang jarang temui, telur tersebut diambil daripada ikan-ikan yang berusia daripada 60 hingga 100 tahun sahaja dan boleh mencecah seberat 900 kilogram. Telur ikan ini biasanya dijual dalam bekas emas yang diperbuat daripada emas 24 karat.
1-Faberge Chocolate Pudding – AS$34,723.12
Puding coklat yang mewah ini dihasilkan oleh ketua cef di Lindeth Howe Country House Hotel. Ia dihasilkan dengan menggunakan empat jenis coklat Belgian dan ditambahkan perisa pic dan oren. Puding ini juga dihiasi dengan daun emas yang boleh dimakan dan caviar di atasnya. Ia di-sempurnakan dengan sebutir berlian boleh dimakan.
Menurut penulis, kelima-lima makanan ini bukanlah makanan bagi orang-orang biasa.
Apa yang baik bagi kita adalah makanan mampu kita miliki yang boleh mengenyangkan dan tidak memudaratkan kesihatan. Cukuplah sekadar perkongsian ini membuka minda kita bahawa di dunia terdapat makanan-makanan yang mampu mencecah harga ribuan ringgit.