Pisang merupakan antara buah-buahan yang digemari ramai, terutamanya di negara Asia.
Daripada buah yang biasa, hingga boleh menjadi jus, kek dan pelbagai lagi variasi pencuci mulut yang disukai ramai. Akan tetapi, tanpa disedari, sebenarnya kulit buah itu juga mempunyai banyak manfaat.
Kulit pisang mengandungi vitamin B12, magnesium, potassium fiber dan protein, yang dapat membantu meringankan beberapa gejala penyakit antaranya gejala depresi dan juga gangguan emosi.
Selain daripada khasiat yang terkandung di dalamnya, kulit pisang juga sebenarnya mampu membantu awda dari segi kecantikan. Awda juga boleh mencubanya di rumah beberapa tip kecantikan yang murah dan mudah itu. Berikut disenaraikan lima manfaat dan tip kecantikan yang boleh diperoleh daripada kulit pisang.
1. MENGURANGKAN JERAWAT
Kulit pisang mengandungi vitamin C dan E, serta kalium, zink dan mangan. Khasiat dan nutrisi yang terkandung didalamnya dapat meredakan radang kulit dan mampu mengurangkan jerawat.
Kaedah untuk merawat menggunakan kulit pisang tersebut adalah mudah. Caranya hanya, dengan menggosok kulit pisang pada kulit wajah. Awda hanya perlu melakukannya dengan lembut dan perlahan.
Selepas meratakannya pada wajah awda, biarkan selama 10 hingga 15 minit, sebelum dibilas dengan air. Untuk lebih berkesan, ulang cara itu dua kali sehari, dan lihat perubahannya.
2. ANTI KEDUTAN WAJAH
Sama seperti merawat jerawat di wajah, awda hanya perlu menggosokkan kulit pisang pada wajah.
Perbezaannya adalah awda perlu membiarkan sapuan kulit pisang tersebut di wajah semalaman. Namun, jika berasa tidak selesa dan terasa ia seperti melekit, awda juga boleh membiarkan sapuan tersebut dalam 30 hingga 45 minit, sebelum dibilas dengan air.
Ulang cara seumpama itu sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu untuk mendapatkan kesan yang optimum.
3. MENGHILANGKAN KUTIL PADA KULIT WAJAH
Kutil merupakan gangguan yang terjadi pada kulit akibat infeksi daripada kuman.
Walaupun ia mungkin tidak mendatangkan bahaya, tetapi boleh memberikan kesan yang kurang cantik jika dibiarkan melekat pada kulit wajah.
Salah satu cara yang dapat membantu menghilangkan kutil ialah dengan memanfaatkan kulit pisang berkenaan. Awda boleh menggosokkan kulit pisang pada kawasan jangkitan pada malam hari. Lakukan cara sedemikian dengan konsisten dalam beberapa minggu dan lihat hasilnya.
4. MEMUTIHKAN GIGI
Jangan risau dengan kos yang tinggi. Awda boleh mencuba putihkan gigi hanya dengan melakukannya di rumah.
Dengan menggunakan kulit pisang pada bahagian dalamnya, awda hanya perlu gosokkannya pada gigi. Caranya hanya dengan melakukan gerakan memutar.
Memanfaatkan kulit pisang untuk putihkan gigi, boleh dipraktikan sebagai rutin harian.
Awda boleh melakukannya selama dua minggu atau lebih untuk melihat kesan gigi yang putih.
5. MENYIHATKAN DAN MENGUATKAN RAMBUT
Kaum wanita terutamanya pasti menginginkan rambut yang lembut, berkilat dan lebat.
Akan tetapi, awda setentunya memikirkan kos yang tinggi untuk penjagaan rapi rambut, jika ingin pergi ke salun. Bagaimanapun, tidak perlu risau kerana awda boleh mencuba cara yang baharu dengan hanya menggunakan kulit pisang.
Ciri-ciri antioksidan yang terdapat pada kulit pisang, boleh meneutralkan radikat bebas pada akar rambut. Di samping itu, ia juga mampu membantu untuk mengekalkan kelembapan pada rambut dan menghapuskan kelemumur. Kolagen yang terdapat pada kulit pisang juga dapat menguatkan dan melebatkan rambut awda.
Apa yang awda perlu lakukan adalah campurkan sedikit yogurt dan minyak kelapa pada lapisan kulit pisang. Kemudian, lumurkan pada rambut dan kulit kepala. Kemudian biarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum dibilas dengan air yang bersih. Pastikan awda mencuci rambut dan kulit kepala dengan bersih tanpa sisa sapuan tadi. – Agensi