NEW DELHI, 2 Julai – Polis India berkata hari ini, pihaknya menahan 23 orang selepas lima lelaki mati dipukul sekumpulan samseng dalam satu lagi insiden keganasan kejam yang mengegarkan negara itu.
Media tempatan menganggarkan lebih daripada 25 orang dibunuh sejak beberapa bulan lalu dalam kes serupa disebabkan penularan khabar angin palsu di telefon pintar membabitkan penculikan kanak-kanak atau tuduhan mencuri atau gangguan seksual.
Insiden terbaharu membabitkan lapan lelaki yang datang ke daerah Dhule, sejauh 330 kilometer dari Mumbai di barat negeri Maharashtra, semalam.
Polis berkata, serangan bermula selepas penduduk tempatan terlihat seorang daripada lapan lelaki terbabit bercakap dengan seorang kanak-kanak, selepas turun dari sebuah bas berhampiran kampung Rainpada.
“Penduduk kemudian berjumpa lelaki terbabit selepas mengesyaki mereka adalah penculik kanak-kanak,” kata ketua polis Dhule, M Ramkumar kepada AFP.
Tiga daripada lelaki terbabit berjaya melarikan diri, namun lima daripadanya diheret ke pejabat majlis perkampungan dan dipukul sehingga mati menggunakan kayu serta objek tidak tajam.
Polis berkata, mereka mengenal pasti penyerang yang disyaki daripada satu rakaman video ketika serangan. Tambahnya, 12 suspek lain masih lagi diburu.
Mereka yang mati berasal dari daerah Solapur dari negeri yang sama tetapi sejauh 450km dari sana.
Penularan khabar angin dengan serangan itu dilaporkan sekurang-kurangnya di 11 buah negeri. – AFP