VIETNAM, 7 NOV – Taufan Kalmaegi yang melanda Vietnam hari ini telah meragut lima lagi nyawa selepas menyebabkan kemusnahan teruk di Filipina, di mana angka kematian meningkat kepada 188 orang.
Kalmaegi membawa hujan dan banjir rekod di wilayah tengah Filipina minggu ini, menghanyutkan kereta, lori dan kontena kapal sebelum membadai Vietnam lewat kelmarin.
Pihak berkuasa Vietnam masih menilai kerosakan pada pagi hari ini, namun kementerian berkenaan melaporkan lima kematian dan 57 rumah runtuh di Gia Lai serta wilayah bersebelahan, Dak Lak.
Hampir 3,000 lagi rumah rosak atau diterbangkan bumbungnya, manakala 11 bot atau kapal dilaporkan tenggelam.
Di sepanjang jalan berhampiran pantai Quy Nhon di Gia Lai, wartawan AFP melihat pasukan penyelamat dan tentera bekerjasama dengan penduduk membersihkan pokok tumbang, mengalih serpihan dan mengumpul kepingan bumbung zink yang diterbangkan angin malam sebelumnya.
“Ini taufan yang sangat besar,” kata Tran Ngo An, 64 tahun, kepada AFP. “Ini kali kedua saya menyaksikan taufan seperti ini. Kali pertama kira-kira 10 tahun lalu, tetapi tidak sekuat yang ini.” – AFP

