Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima maut dalam pertempuran antara dua etnik di India

    MUMBAI, 8 SEPT – Pertempuran baharu di timur laut India yang berlarutan dengan persengketaan telah mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang kelmarin, kata seorang pegawai kerajaan tempatan, beberapa jam selepas serangan roket yang mendorong pihak berkuasa menutup sekolah.

    Negeri Manipur telah digegarkan oleh keganasan berkala selama lebih setahun antara etnik majoriti Meitei yang beragama Hindu dan komuniti Kuki yang kebanyakannya beragama Kristian.

    Konflik tersebut telah berlarutan sejak itu, memecahbelahkan komuniti yang sebelum ini hidup bersama mengikut garis etnik.

    Pertempuran baharu ini telah membunuh lima orang di daerah Jiribam, yang terletak di sempadan India dengan Myanmar yang dilanda perang.

    “Sejak pagi, terdapat pertempuran antara dua komuniti di Jiribam. Kami telah menemui lima mayat dan sedang menunggu maklumat lanjut,” kata seorang pegawai kerajaan tempatan, yang enggan dikenali, kepada AFP.

    Seorang ditembak mati ketika tidur dan empat lagi ‘orang bersenjata’ terbunuh dalam kejadian ‘berbalas tembakan seterusnya’, lapor Press Trust of India.

    Keganasan kelmarin berlaku selepas kematian dua orang lain dalam serangan berasingan pada minggu lalu.

    Sekolah-sekolah diarah tutup selepas serangan roket oleh pemberontak sehari sebelumnya yang membunuh seorang lelaki berusia 78 tahun dan mencederakan enam yang lain.

    Notis kerajaan tempatan menyatakan semua sekolah di negeri itu akan ditutup pada Sabtu, ketika kelas biasanya diadakan, untuk melindungi ‘keselamatan pelajar dan guru’. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda