MIDLAND, TEXAS, 1 SEPT – Lima orang maut di Barat Texas selepas seorang lelaki yang diarah berhenti oleh anggota polis kerana gagal untuk menyalakan lampu isyarat ke kiri telah melepaskan tembakan dan memecut lari, menembak lebih 20 orang ketika memandu sebelum dibunuh oleh para pegawai di luar panggung wayang, kata pihak berkuasa.
Kejadian tembak-menembak itu bermula petang kelmarin dengan lalu lintas terhenti semasa berbalas tembakan dengan polis, mencetuskan amukkan huru-hara semasa suspek merampas trak perkhidmatan pos dan melepaskan tembakan sembarangan ketika dia memandu di kawasan Odessa dan Midland, dua bandar di tengah negara minyak Texas lebih 483km barat Dallas.
Polis pada awalnya melaporkan ramai penembak, namun Ketua Polis Odessa, Michael Gerke akhirnya mengatakan hanya seorang suspek lelaki berusia dalam 30an.
Suspek menembak ‘ke arah orang awam yang tidak bersalah di Odessa,” menurut kenyataan dari polis Odessa, yang tidak menamakan lelaki itu mahupun motifnya.
Urutan kejadian menakutkan itu bermula apabila anggota polis Texas mengarahkan kereta berwarna emas untuk berhenti kerana gagal untuk mengenakan isyarat belokan ke
kiri, kata jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Texas, Katherine Cesinger.
Sebelum kereta itu berhenti sepenuhnya, pemandunya telah ‘mengacukan raifal ke arah belakang keretanya dan melepaskan beberapa tembakan’ ke arah kereta peronda polis yang menghentikannya. – AP
