BOGOTA, 9 MEI – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan dua lagi dilaporkan hilang selepas kejadian tanah runtuh berhampiran bandar kedua terbesar Colombia, Medellin kelmarin, menurut pihak berkuasa tempatan.
Pasukan penyelamat telah dikerahkan ke perbandaran Sabaneta, di selatan Medellin, di mana hujan lebat telah menyebabkan tanah runtuh dan banjir, kata Gabenor wilayah Antioquia, Andres Julian Rendon di platform X.
Pejabat Datuk Bandar memaklumkan pusat perlindungan telah disediakan untuk mangsa sementara usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.
“Ahli geologi, jurutera, dan petugas sosial berada di lokasi, dan jentera berat telah diaktifkan untuk membersihkan bahan runtuhan,” menurut agensi pengurusan bencana wilayah itu. – Bernama
