ALGIERS, 16 MEI – Lima orang maut dan lebih 100 cedera apabila hujan lebat mencetuskan banjir di beberapa wilayah Algeria, kata perkhidmatan pertahanan awam negara itu kelmarin.
Di Djelfa, kira-kira 300 kilometer di selatan ibu kota Algiers, tiga orang maut apabila sebuah bas terkandas dan ditenggelami air banjir.
Pertahanan awam, yang melaporkan kematian berlaku dalam tempoh 24 jam, berkata seorang remaja berusia 13 tahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya selepas ditimpa hujan batu.
Individu kelima telah dihanyutkan oleh air banjir, dan pihak berkuasa berkata usaha mencari masih berterusan untuk individu lain yang masih hilang.
Hujan lebat berterusan kelmarin di bahagian utara dan selatan Algeria, negara terbesar di Afrika.
Pejabat meteorologi negara Algeria telah memberi amaran mengenai hujan sehingga 90 milimeter sebelum banjir. – AFP
