COLOMBO, 6 OKT – Lima orang penumpang maut di Sri Lanka selepas sebatang pokok besar tumbang lalu menghempap sebuah bas milik kerajaan di ibu kota Colombo, menurut kenyataan polis.
Sementara itu, sembilan lagi penumpang berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital dan keadaan mereka dikatakan stabil. Seramai 20 orang penumpang berada di dalam bas tersebut semasa kejadian.
“Bas tersebut berhenti di Kollupitiya untuk mengambil penumpang apabila pokok itu tumbang,” pegawai polis memberitahu AFP.
“Keadaan hujan semalaman dan pokok-pokok menjadi tidak stabil.”
Dia berkata siasatan sedang dijalankan untuk memastikan sama ada kerajaan perbandaran gagal untuk menjaga dengan betul pokok-pokok yang ditanam di sepanjang jalan di kejiranan kelas atas.
Sri Lanka mencatatkan secara purata kira-kira tujuh kematian di jalan raya setiap hari.
Tahun lalu, seramai 2,536 orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara.- AFP


