MEXICO CITY, 6 JAN – Serangan bersenjata di sebuah bar di tenggara Mexico mengakibatkan lima orang maut dan tujuh yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kelmarin.
Ia merupakan insiden terbaharu dalam rangkaian serangan serupa di negara yang dilanda keganasan itu.
“Operasi memburu suspek dilaksanakan pada malam Sabtu di bandar Villahermosa, negeri Tabasco,” kata Sekretariat Keselamatan dan Perlindungan Awam dalam satu kenyataan.
“Lima orang maut dan tujuh lagi cedera,” menurut kenyataan itu.
“Analisis rakaman kamera pengawasan sedang dijalankan, dan pasukan gabungan pihak berkuasa negeri serta persekutuan telah dikerahkan untuk menjalankan rondaan bagi mengesan dan menahan mereka yang bertanggungjawab,” tambah kenyataan tersebut.
Laporan media tempatan, lelaki bersenjata yang tidak dikenali menceroboh masuk ke dalam bar La Casita Azul dan melepaskan tembakan ke arah pelanggan, menyebabkan beberapa mangsa bergelimpangan di lantai dengan tubuh berlumuran darah.
Tabasco, yang merupakan lokasi utama kemudahan pengeluaran minyak, telah menyaksikan peningkatan jenayah keganasan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada November lalu, enam orang maut manakala 10 lagi cedera dalam serangan bersenjata di sebuah bar di Villahermosa. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/01/P21-C-web-Freepik_07012025.jpg)