Oleh Daniel Lim
BELAIT, 26 FEB – Sebanyak lima pasukan telah berentap dalam Liga Kebangsaan Lim Enterprise Persatuan Bola Keranjang Daerah Belait (BDBA) 2023 yang mana perlawanan pertama telah berlangsung kelmarin di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru Seria.
Hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut ialah Pengarah Lim Enterprise, Tony Lim yang merupakan salah seorang penaja pertandingan itu dan disambut pengerusi persatuan, Koo Kong Loi.
Sebanyak lima pasukan telah bertanding dalam kejohanan itu, termasuk Unity, Chicken King Fast Food, Tutong, Skuad Belia BBA dan Thye Ann Goldsmith.
Dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh Koo Kong Loi, beliau mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada penaja pertandingan, Lim Enterprise dan Hui Huang Enterprise, yang menaja minuman You C-1000 untuk pertandingan itu.
Beliau berharap para pemain dapat mempamerkan semangat kesukanan yang mesra kerana mereka memberikan yang terbaik semasa bersaing sesama sendiri sepanjang pertandingan berlangsung.
Di samping itu, beliau berkata persatuan itu akan terus memupuk dan memajukan sukan di daerah ini, dengan lebih banyak pertandingan dan kejohanan dirancang untuk tahun ini.
Salah satu perlawanan yang diadakan kelmarin menyaksikan Chicken King Fast Food menentang Skuad Belia BBA, yang mana perlawanan tersebut dimenangi Chicken King Fast Food dengan jaringan 109-38.
Sementara itu, perlawanan kedua malam itu menyaksikan Tutong bersaing dengan Unity. Kedua-dua pasukan bermula sengit pada suku pertama, dan saling berbalas serangan antara satu sama lain yang menyebabkan Tutong sekadar memperoleh kelebihan satu mata pada penghujung suku pertama.
Namun pendahuluan tersebut dapat diatasi apabila Unity berjaya mengawal permainan pada suku ketiga, Tutong melakukan serangan pada suku terakhir untuk meraih kemenangan pertama mereka dengan jaringan 51-45.