Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima pasukan tuntut penganjur LTdL lebih RM1 juta

    PUTRAJAYA, 4 JULAI – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini mendedahkan menerima surat daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berhubung tunggakan bayaran penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 kepada lima pasukan bertanding.

    Tanpa mendedahkan nama pasukan terlibat, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata tunggakan itu melebihi RM1 juta, namun tidak melibatkan hadiah kemenangan.

    Beliau berkata, sekiranya masalah itu tidak diselesaikan tahun ini, ia berkemungkinan besar menghalang UCI daripada menyenaraikan LTdL dalam kalendar perlumbaan tahun depan.

    “Jumlah tunggakan yang kita tahu adalah berdasarkan jumlah dinyatakan UCI, di mana UCI tulis surat ada lima pasukan yang tak dibayar, yang tak dibayar bukan hadiah kemenangan tetapi seperti bayaran penampilan dan tiket penerbangan.

    “Jadi bila kesemua pasukan terlibat tak dapat duit, mereka laporkan kepada UCI.

    “UCI bukan nak tekan penganjur (sebaliknya) mereka datang kepada PKBM,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran LTdL 2023 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

    Abu Samah berkata, isu tunggakan itu bukan sahaja mencalarkan reputasi baik LTdL, malah berupaya menjejaskan minat pasukan luar untuk bersaing dalam edisi kali ini dan seterusnya, namun memberi jaminan akan berusaha mengatasi masalah berkenaan.

    Beliau berharap kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat membantu PBKM dalam menyelesaikan isu tunggakan itu selepas usaha berunding dengan penganjur menemui jalan buntu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda