Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima pelajar sertai SSHP 2023

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Lima orang pelajar dan dua orang guru pengawas telah berlepas ke Jepun bagi menyertai Program Sekolah Tinggi Sains Sakura (SSHP) 2023 anjuran Agensi Sains dan Teknologi Jepun (JST) bermula hari ini hingga 2 Julai.

    Penyertaan mereka diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP).

    Negara Brunei Darussalam diwakili oleh pelajar-pelajar peringkat prauniversiti yang terdiri daripada Aaron Ang Wen Zi dari Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong, Alexander Kheong Moncherry dari PTE Meragang, Awang Mohd Saedon bin Sahralidin dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), Dayang Farysha Rania Zulhilmi dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) dan Dayang Nur Ain Arisha Binti Muhammad Armus dari PTE Tutong.

    Turut serta selaku guru pengawas ialah Awang Muhammad Nabil bin Haji Ibrahim dari Maktab Duli dan Dayang Nurul Fathiah Bazilah binti Haji Brahim dari Pusat STEP, Kementerian Pendidikan selaku penyelaras program.

    Para pelajar dipilih berdasarkan kecemerlangan dan minat mereka dalam mata pelajaran sains dan teknologi.

    Program SSHP 2023 diisikan dengan aktiviti lawatan ke institusi pendidikan dan penyelidikan, makmal dan tempat-tempat menarik di Jepun seperti Kazusa DNA Research Institute, JAXA Tsukuba Space Centre dan CYBERDYNE serta menghadiri kuliah dan membuat pembentangan semasa program tersebut dijalankan.

    Semasa program tersebut, para peserta pelajar dikehendaki untuk menghasilkan pembentangan bagi memperkenalkan negara dan budaya untuk dikongsikan semasa sesi lawatan ke Makuhari Junior and Senior High School bersama dengan peserta pelajar antarabangsa yang lain.

    Antara tujuan program diadakan adalah untuk mendedahkan pelajar kepada perkembangan sains dan teknologi di Jepun dengan mengadakan lawatan ke universiti-universiti dan institut penyelidikan, menghadiri kuliah yang membincangkan tentang kemajuan dalam bidang sains dan teknologi serta menimba pengalaman mengenai cutting-edge dalam bidang sains dan teknologi termasuk pelaksanaan hands-on experiment melalui demonstrasi daripada saintis terkemuka.

    Selain itu, program tersebut juga memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk berinteraksi dengan pelajar-pelajar dari Jepun dan negara-negara lain seperti Kemboja, Myanmar, Malaysia, Vietnam yang turut menyertai program berkenaan sekali gus memberikan pendedahan kepada budaya Jepun dan penduduknya.

    Gambar ramai pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke Jepun bagi menyertai Program Sekolah Tinggi Sains Sakura (SSHP) 2023. – Gambar oleh Syahmi Hassan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda