Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memberikan kembali kepada masyarakat, GoMamam dengan sokongan Persatuan Pendidikan Khas (FITRAH) telah menghulurkan bantuan kepada lima pelajar sekolah dari Kampong Ayer yang berdepan cabaran kelainan upaya dan kewangan, terutamanya semasa perayaan yang bakal menjelang, Hari Raya Aidilfitri.
Sumbangan termasuk keperluan makanan, keperluan sekolah, keperluan harian, peti sejuk dan cermin mata bertujuan meringankan bebanan harian mereka.
“Kami amat komited untuk memberikan impak positif dalam kehidupan mereka yang memerlukan, terutamanya pada bulan yang mulia ini untuk bermuhasabah diri serta menaruh belas kasihan.
“Kami menghargai sokongan yang diberikan oleh FITRAH dalam membantu menyumbang kepada pelajar yang memerlukan dan juga keluarga di Kampong Ayer,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kewangan GoMamam, Awang Hadi Adanan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi di GoMamam, Awang Amin Rambli berkata, “Meningkatkan kesedaran tentang keperluan khas dalam masyarakat adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami sebagai rakyat Brunei, bukan sahaja mengetahui bahawa terdapat pelbagai bentuk bantuan yang boleh kami sediakan kepada kanak-kanak kelainan upaya di Brunei, tetapi juga meningkatkan keterangkuman mereka dan akses yang lebih baik dalam persekolahan di Brunei Darussalam.”
Inisiatif tersebut menekankan dedikasi berterusan GoMamam terhadap tanggungjawab sosial korporat dalam memupuk komuniti inklusif.